Welcome guest, is this your first visit? Create Account now to join.
  • Login:

Welcome to the NoGold Portal - The first Malaysian business community.

If this is your first visit, be sure to check out the FAQ by clicking the link above. You may have to register before you can post: click the register link above to proceed.

TenkoFX Crypto Trade_on_STP_accounts-ENG_468x60

+ Reply to Thread
Results 1 to 3 of 3

Thread: Anugerah

  1. #1
    DiSc
    Guest

    Anugerah

    "Mama, Ain nak roti lagi."

    "Kan Ain dah makan banyak, nantilah dulu ya."

    Ahh.. Ain, berat badannya telah melampaui batas normal untuk kanak-kanak
    seusianya. Keadaan ini adakalanya membuatkan Ain termengah-mengah.
    Semenjak disahkan penyakitnya telah sampai ke tahap serius dua bulan lalu,
    aku berusaha untuk menjadi ibu yang paling tabah. Semuanya demi untuk
    melihat Ain gembira. Kesal rasanya telah memuntahkan kemarahan sebelum
    ini. Kesal yang tak mungkin akan terubat lagi.


    Segalanya bermula lima tahun lalu. Ain selalu demam, ada waktunya hanya
    berselang minggu. Telah berbagai jenis ubat yang ditelannya. Namun
    sembuhnya hanya sementara. Ain akhirnya ku bawa merujuk kepada pakar
    kanak-kanak. Tangisan Ain bergema sewaktu contoh darahnya diambil. Masakan
    tidak. Ain baru berusia tujuh bulan saat itu. Gelap rasanya pandanganku
    apabila doktor mengesahkan Ain leukemia. Ubat-ubatan yang diberikan
    sekadar untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Tiada lagi penawar bagi
    penyakitnya di saat itu. Ohh.. tidak mungkin.

    Waktu itu aku hamil dua bulan. Bercelaru rasanya, bimbang ia akan menerima
    nasib yang sama. Aku harus menjalani ujian lagi.

    "Leukemia bukanlah penyakit berjangkit atau keturunan. Peluang untuk
    kandungan puan seterusnya mengidapnya adalah tipis. Tapi puan perlu
    menjalani ujian untuk itu. Jangan bimbang, puan pasti selamat, bersabar
    sahaja."

    Kata-kata doktor muda itu ku sambut sepi. Aku tenggelam dalam seribu
    kebimbangan dan kemungkinan. Bagaimana kalau nanti dia juga menerima nasib
    yang sama. Bagaimana kalau di saat aku melahirkannya, Ain kesakitan. Adam
    hanya mengeluh sewaktu ku luahkan kebimbangan yang bersarang. Sebagai anak
    sulung, Ain menjadi kesayangan kami. Tambahan pula Adam dalam proses
    kenaikan pangkat. Oleh itu beliau perlu menghadiri kursus demi kursus.
    Demi untuk Ain, aku akhirnya menyerahkan surat permohonan cuti tanpa gaji.

    Selepas itu Ain harus sering ku bawa bertemu doktor. Berbagai ujian dan
    rawatan harus dilaluinya. Ada waktunya ingin sahaja aku mengalah dengan
    corak rawatan tersebut. Ain tidak menggemari ubat, oleh itu bagai
    penyiksaan harus dilaluinya setiap kali ubat diberikan.

    "Pada tahap yang dialami Noraishah sekarang, peluang untuknya masih cerah.
    Tapi bukan untuk sembuh sepenuhnya. Puan perlu bersabar, memang ia
    menyakitkan. Kalau nasibnya baik, dia mungkin sembuh."

    Ayat terakhir dari doktor itu bagai satu hukuman bagiku. Bagaimana kalau
    nasib tidak menyebelahinya. Ohh, aku akan kehilangan Ain. Kesakitan
    sewaktu melahirkannya masih terasa, mana mungkin aku harus kehilangannya.

    Berhadapan dengan seribu kemungkinan itu aku semakin tertekan. Apatah lagi
    setiap kali ku khabarkan penyakit Ain, hanya berita kematian yang ku
    telan. Setiap orang bagai menanti saat kematiannya. Mereka bagaikan hairan
    apabila setiap kali berhari raya, Ain ada bersama kami. Ada waktunya aku
    ingin menyisihkan sahaja keluarga kami dari mereka.

    "Perasaan Idah saja tu, abang tak nampak pun mereka buat macam tu. Dah lah
    tu, sabar saja, mereka tu simpati dengan kita."

    "Macam mana Idah nak sabar, bila nampak Ain, dia orang cakap apa tau, eh..
    eh.. Ain sihatnya, apa maknanya tu?"

    "Baguslah kalau mereka kata Ain sihat, kalau dikatanya Ain sakit macam
    mana?"

    Pertanyaan Adam ku biarkan tergantung di situ. Sikap penyabar Adam ada
    waktunya mematikan patah perkataan yang ingin ku lontarkan. Menjelang usia
    Ain tiga tahun, Ain menunjukkan tanda positif. Pertumbuhannya bagai
    kanak-kanak lain. Sangkaku pastinya penyakit Ain telah sembuh. Berbayar
    rasanya segala pengorbanan selama ini. Kenakalan Ain dan Adib ada waktunya
    menguji kesabaranku. Seharian di pejabat dengan berbagai tugasan.
    Keletihan itu adakalanya membuatkan aku hilang pertimbangan wajar.
    Seringkali aku meninggikan suara pada mereka.

    Namun selepas itu, kekesalan akan bersarang di benakku. Tatkala melihat
    Ain dan Adib nyenyak di katil mereka aku rasa bersalah. Tidak adil aku
    melepaskan kemarahan di atas kesalahan yang kecil. Apalah lagi yang boleh
    dilakukan oleh kanak-kanak seusia mereka selain bermain dan bergaduh.

    Ain sebenarnya amat rajin membantu. Dalam usia sebegitu, dia ingin
    melakukan tugas yang aku lakukan. Kalau aku membersih rumah, Ain akan
    turut serta.
    Meskipun hanya menambahkan tugas yang ada, sekurang-kurangnya Ain berusaha
    untuk itu. Pertanyaan Ain adakalanya membuatkan aku kehabisan idea untuk
    menjawab. Kadang-kadang aku risau bila Ain memulakan persoalan. Perkataan
    'kenapa' darinya pasti akan memerlukan penghuraian yang panjang lebar. Aku
    sendiri tidak pasti apakah keterangan yang diberikan benar-benar
    difahaminya atau sekadar ingin berkomunikasi dua hala.
    Estonian Forex 160x600en

  2. #2
    DiSc
    Guest
    Menginjak ke usia lima tahun, Ain menunjukkan perubahan ketara.
    Perkembangan berat badannya mula merisaukan aku. Selera makannya
    mengalahkan orang dewasa.
    Paling digemarinya makan di restoran segera. Tidak menjadi masalah bagi
    Ain untuk menghabiskan nugget dan kentang gorengnya. Selera makannya ada
    waktu membuat kesabaranku hilang. Masakan tidak, dalam kesesakan
    jalanraya, Ain boleh menjerit minta ayam goreng, hanya kerana terlihat
    papan iklan ayam goreng.

    "Sudahlah Idah, budak-budak macam tulah." Itulah kata-kata Adam setiap
    kali aku memarahi Ain. Kadang-kadang aku rasakan disebabkan Adam selalu
    menurut katanya Ain jadi sedemikian. Apa sahaja yang dipinta Ain akan
    dipenuhinya.

    "Mama, nanti jahitkan telekung baru untuk Ain ya."

    "Kan telekung Ain tu elok lagi, buat apa yang baru."

    "Ala mama, Ain nak yang ada renda macam baju Cinderella ni. Nanti bila Ain
    ikut mama sembahyang, Ain cantik macam Cinderella."

    "Ain tau tak, Cinderella tak makan banyak macam Ain."

    "Okeylah mama, nanti Ain makan sikit aja ya, tapi mama buatlah dulu."

    Pelbagai karenah Ain yang tak mungkin luput dari ingatan rinduku. Pernah
    Ain suarakan aku buatkan renda pada telekung itu untuk menjadi penawar
    rindu.
    Kononnya ia seperti apa yang dilakukan papanya. Adam yang selalu
    menghadiri tugas keluar daerah telah membelikan patung Cinderella.

    Menurut Adam, Cinderella itu adalah wakilnya setiap kali Ain rindu pada
    papanya. Ianya benar-benar berkesan. Ain akan berbual dengan patung
    tersebut setiap kali sebelum tidur sekiranya Adam tiada.

    Aku dalam kegembiraan kerana disahkan mengandung lagi. Ain kepenatan
    sewaktu dalam perjalanan untuk meraikan berita gembira itu. Lantas kami
    membatalkan niat itu dan membawa Ain ke doktor. Bagai ada halilintar yang
    memanah, apabila diberitahu penyakit Ain telah sampai ke tahap serius. Ain
    perlu ditahan di wad untuk rawatan lanjut. Menurut doktor, saraf yang
    mengawal nafsu Ain telah rosak. Itulah sebabnya Ain tidak merasa kenyang,
    meskipun telah makan dengan banyak. Mengapalah tidak aku fahami keadaan
    itu sebelumnya. Sangkaku keadaan itu bukan kerana penyakit. Kenapalah aku
    tidak boleh peka dengan itu semua.

    Betapa pilu hatiku melihat pelbagai wayar disambungkan ke badan Ain. Ada
    waktunya Ain tidur seperti pengsan. Apapun berlaku, tak akan ku biarkan
    Ain sendirian. Semoga Ain sedar betapa kasihku yang sentiasa melimpah
    untuknya. Tidak putus doa ku panjatkan agar Ain sembuh semula. Namun
    kepiluan tidak dapat ku hindarkan apabila doktor membenarkan apa saja yang
    dipinta anakku. Ain seperti tidak perlu lagi berpantang meskipun
    keadaannya amat tenat. Terasa benar Ain bagai pesalah yang menanti hukuman
    mati.

    Petang itu sebagaimana biasa Adam tiba untuk giliran menjaga Ain. Aku
    perlu rehat demi kandunganku. Tambahan pula Adib lebih rapat denganku
    berbanding Adam. Menginap di hotel memerlukan perbelanjaan yang bukan
    sedikit. Segalanya perlu dibayar, makanan, dobi dan sebagainya. Tidak
    sanggup rasanya menyusahkan saudara yang ada.

    Telah hampir seminggu kami di sini. Keadaan Ain tidak menampakkan
    tanda-tanda akan sembuh. Kunjungan saudara mara juga silih berganti.
    Semuanya seperti tidak memberikan harapan pada Ain. Entah kenapa airmataku
    tidak mampu tumpah kali ini. Mungkin keadaan tersebut telah menjadikan aku
    semakin tabah. Biasanya setiap kali Ain dimasukkan ke hospital airmataku
    akan mengalir sehinggalah saat Ain dibenarkan pulang.

    Namun sebaliknya Adam kelihatan lebih emosi kali ini. Matanya sentiasa
    berkaca kala membaca surah Yassin di sisi Ain. Sebagai seorang lelaki
    airmata amat mahal baginya. Dan yang mahal itu kini tertumpah untuk Ain
    kesayangannya. Bagiku mungkin dugaan kali ini terlalu berat untuk
    meninggalkan Ain. Meskipun Adam telah lama tiba, aku seakan terpanggil
    untuk terus di sisi Ain.

    "Idah pergilah sebelum Adib menangis dan mengejutkan Ain."

    "Hati Idah tak sedap benar rasanya, nantilah sekejap lagi."

    "Tak baik macam tu Idah, anak kita akan sembuh, pergilah."

    Seketika itu ibu dan adikku tiba untuk melawat Ain. Mata tua itu kiranya
    lebih memahami keadaan.

    "Dah tenat nampaknya budak ni, kau tunggu sajalah Idah, biar mak jaga
    Adib."

    Benar bagai dikata ibu. Hanya seketika itu Ain terjaga dan memanggil
    namaku. Patah bicara Ain tidak menentu lagi. Air mata Adam kelihatan
    mengalir lagi.

    "Mama, jangan berdiri dekat pintu tu, Ain tak nampak pintu."

    Pintu apa yang kau lihat anakku, sedang perbaringanmu menghadap dinding
    batu sahaja. Telah terbukakah pintu langit untukmu, anakku. Janganlah
    pergi dulu Ain, belum puas rasanya mama bersamamu. Bicaraku hanya tersekat
    di kerongkong.

    "Mama, sakit mama."

    Ain mula meronta. Sudah tentu keadaan itu membahayakan dirinya. Wayar yang
    mengalirkan darah dan air itu seakan mengganggu pergerakan Ain. Sepantas
    itu suaraku dan Adam memanggil jururawat.

    "Papa, tolong pa, Ain nak bangun, Ain nak pergi ikut pintu tu."

    Adam bagai hilang pertimbangan. Airmata kami berbaur dengan tangis Ain.
    Suntikan yang diberikan menyebabkan Ain tertidur kembali. Ain terpaksa
    dipindahkan ke unit rawatan rapi.

  3. #3
    DiSc
    Guest
    Ibu dan adikku pulang bersama Adib setelah Ain ditempatkan dalam sebuah
    bilik khas. Keadaan Ain yang kritikal itu membuatkan aku lebih rela
    melihat tangisan Adib yang enggan pergi bersama neneknya. Sepanjang malam
    itu Ain langsung tidak bangun. Hanya jejarinya terasa terus hangat
    memegang jariku. Aku sendiri tidak pasti telah berapa kali aku dan Adam
    menghabiskan surah Yasin untuknya. Malam itu tidur kami hanya beberapa
    minit di atas kerusi di kiri dan kanan Ain. Tidak lagi kufikirkan rehat
    dan makan saat itu.

    Sewaktu azan Subuh sayup-sayup kedengaran, aku tersedar bila genggaman
    tangan Ain terasa longgar. Adam yang tertidur di sebelah tersentak bila
    aku seakan menjerit memanggilnya. Mesin denyutan jantung Ain menunjukkan
    satu garisan yang memanjang sewaktu Adam menghembuskan dua kalimah
    syahadah di telinganya. Air mataku gugur sewaktu doktor meluahkan ungkapan
    yang tidak mampu diterima oleh setiap yang bergelar ibu.

    "Puan, kami telah melakukan yang termampu, Tuhan lebih menyayanginya.
    Relakanlah dia pergi."

    Apalah lagi yang mampu aku lakukan. Tak mungkin aku boleh mengembalikan
    Ain yang telah pergi. Segalanya harus ku terima dengan redha. Maha suci
    Allah yang telah menganugerahkan Ain, biarpun sebentar di dalam hidupku.
    Kini, meskipun telah enam bulan berlalu, Ain seakan masih ada di
    mana-mana. Beberapa kali aku terpanggil namanya bila merasakan ada yang
    mengekori setiap yang aku lakukan. Ain pasti akan mengekori kalau aku
    sedang menyapu sampah di dalam dan luar rumah. Sukar untuk menerima
    hakikat aku kini melakukannya sendirian.

    Telekung renda yang dipintanya hanya digunakan beberapa kali sahaja.
    Sewaktu Ain dimasukkan ke hospital tempohari dia masih meminta telekung
    barunya itu. Telekung itu kini sebahagian dari diriku. Ia ku tempatkan di
    sudut yang istimewa agar boleh untukku melihat selalu. Walaupun kini
    permergian Ain telah digantikan dengan Anis, kerinduan pada anugerah
    sulung itu tetap terpahat di hati. Doaku setiap detik agar Ain tenang dan
    damai sentiasa.


  4. The Best Spread 468x60ms

 

Bookmarks

Posting Permissions

  • You may not post new threads
  • You may not post replies
  • You may not post attachments
  • You may not edit your posts