-
Monyet ganggu ketenangan di Selayang

Seekor monyet bertenggek di atas bumbung rumah penduduk
SELAYANG 21 Sept. - Sejak dibuka hampir dua dekad lalu, Taman Jasa Utama di sini yang terletak di pinggir ibu kota adalah antara pilihan bagi mereka yang mengimpikan suasana tenang dan mendamaikan.
Namun sejak setahun lalu, kehidupan penduduk di situ terganggu. Semuanya gara-gara kehadiran sekumpulan monyet liar yang datang dari hutan berhampiran.
Difahamkan, haiwan berkenaan yang datang secara berkumpulan muncul pada awal pagi iaitu pukul 7 pagi untuk mencari makanan.
Penduduk mendakwa semua ini disebabkan pembangunan dilakukan di kawasan berhampiran dan menyebabkan kemusnahan hutan yang selama ini menjadi habitat haiwan berkenaan.
Utusan Malaysia ketika meninjau kawasan perumahan berkenaan mendapati kebimbangan penduduk itu berasas kerana beberapa tanaman seperti pokok bunga, buah dan atap genting dirosakkan sekumpulan monyet.
Kesan kerosakan dilakukan haiwan itu juga dapat dilihat pada sampah-sarap yang berselerak di sana sini, gara-gara tindakan monyet mencari makanan dalam tong sampah.
Walaupun pada awalnya gagal untuk melihat sendiri bagaimana monyet-monyet berkenaan beraksi seperti didakwa penduduk, kira-kira dua jam menunggu kelihatan seekor monyet dalam lingkungan usia dua tahun dilihat sedang menikmati makanan di atas bumbung salah sebuah rumah.
Penduduk bergurau, kehadiran kami di kawasan itu seolah-olah dapat dihidu kumpulan monyet berkenaan, apabila haiwan itu dilihat melarikan diri dan hilang dengan sekelip mata sahaja kerana menyangka terancam.
Malah, monyet yang muncul secara berkumpulan termasuk anak kecil itu semakin berani dengan turut mengambil kesempatan masuk ke rumah penduduk yang pintunya terbuka.
Utusan Malaysia difahamkan haiwan liar yang gemar hidup secara berkumpulan ini sudah ada di kawasan ini sejak lama dulu. Makanan utamanya adalah buah-buahan hutan atau buah getah yang terdapat di kawasan hutan berdekatan.
Bagaimanapun tabiatnya berubah dan dikesan mula menceroboh rumah penduduk selepas pembangunan di kawasan sekitar dijalankan.
Biasanya monyet ini turun dari atas bukit sebelum menaiki bumbung dan merosakkan segala barang-barang termasuk antena televisyen, manakala atap dicungkil hingga berlubang.
Haiwan berkenaan juga dikesan sering berkeliaran dan mencari makanan dari tong-tong sampah milik penduduk sehingga menyebabkan sampah-sarap mengotori kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Aminah Mohd., 50, berkata, kehadiran lima atau 10 ekor monyet pada satu-satu masa itu bukan sesuatu yang menghairankan mereka.
Katanya, haiwan itu bukan sahaja mengancam keselamatan, malah membuatkan persekitaran kediaman kotor apabila monyet berkenaan menyelongkar timbunan sampah untuk mencari makanan.
Dia yang menetap di sini sejak tahun 2000 berkata, lebih memburukkan keadaan apabila kediaman penduduk turut diceroboh haiwan itu, malah bumbung, antena televisyen dan wayar elektrik turut rosak.
"Monyet ini sering masuk ke rumah mencari makanan melalui tingkap dan menyelongkar barang hingga menyebabkan kediaman berselerak dan mengakibatkan barang rosak," ujarnya yang turut mendakwa mempelam miliknya yang sedang ranum berbuah juga menjadi mangsa monyet liar itu.
Bagi Jayaeswari Murugesu, 37, pula kumpulan monyet di kawasan perumahan mereka bukan sahaja merosakkan tanaman, malah dikesan mula mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak perempuan dan wanita.
Katanya, monyet -monyet itu juga dilihat semakin berani apabila menceroboh kediaman penduduk.
"Pada mulanya gangguan tidak berapa sangat sebab banyak hutan lagi. Bagaimanapun apabila projek pembangunan dilakukan di kawasan sekitar, kumpulan monyet ini menjadikan taman perumahan kami pula sebagai sasaran untuk mendapatkan makanan," ujarnya.
"Jika boleh, kami mahu pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan mengatasi masalah ini bagi mengelakkan kami terus berada dalam kebimbangan," ujarnya.
Masalah Jayaeswari turut dikongsi jirannya, Sariah Mohd. Salleh, 63.
Dia yang tinggal di taman perumahan berkenaan sejak dua tahun lalu turut mendakwa kehadiran kumpulan kumpulan monyet itu menimbulkan rasa kurang selesa dan dia terpaksa berjaga-jaga pada setiap masa.
Sehubungan itu, penduduk meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah gangguan monyet liar itu di taman perumahan mereka.
To view links or images in signatures your post count must be 2 or greater. You currently have 0 posts.
To view links or images in signatures your post count must be 2 or greater. You currently have 0 posts."I'm in Nogold Speakout"To view links or images in signatures your post count must be 2 or greater. You currently have 0 posts.
-
|
|
Bookmarks