Announcement

Collapse
No announcement yet.

[8/11/2009] : Berita Harian | Berita2 Semasa

Collapse
X
  • Filter
  • Time
  • Show
Clear All
new posts

  • [8/11/2009] : Berita Harian | Berita2 Semasa

    Negeri Sembilan julang Piala Malaysia musim ini

    KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

    Hasrat Kelantan untuk mendakap Piala Malaysia musim ini musnah apabila Shahurain Abu Samah meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada separuh masa pertama.

    Negeri Sembilan meneruskan rentak cemerlang pasukan itu apabila mendapatkan gol kedua hasil jaringan Hairuddin Omar selepas beberapa minit permainan separuh masa kedua mula.

    Asakan demi asakan barisan serangan pasukan Hoben Jang Hoben itu terus membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan pemain kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

    Kelantan yang terus mencari gol selepas itu hanya mampu mendapatkan satu jaringan daripada sepakan percuma kapten pasukan mereka, Indra Putra Mahayuddin.
    "Saya menyertai Nogold Speakout"

  • #2
    MAS dinobat Syarikat Penerbangan Utama Asia oleh WTA




    LONDON: Penerbangan Malaysia (MAS) mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Utama Asia (WLA) oleh 180,000 golongan profesional di seluruh dunia dalam undian yang dijalankan World Travel Awards (WTA).

    Proses undian yang diadakan tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah 16 tahun penganjuran WTA dengan golongan profesional dari lebih 160 negara di dunia membuat pilihan mereka bagi menentukan syarikat penerbangan yang menyediakan khidmat dan hospitaliti terbaik di Asia.

    Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, pengiktirafan yang diterima MAS itu adalah hasil kerja keras semua kakitangan syarikat berkenaan yang sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

    Berikutan itu, beliau berkata, fokus dalam meningkatkan perkhidmatan serta penyampaian akan dilakukan secara berterusan bagi memenuhi kehendak pelanggan.

    "Kami sentiasa menjalankan kaji selidik dalaman dan luaran serta mengumpul semua maklumat dan maklum balas daripada pelanggan serta kabin krew selepas setiap penerbangan untuk mengetahui apa yang harus dilakukan untuk meningkatkan perkhidmatan bagi memuaskan hati pelanggan.

    "Hasilnya, kita berjaya memperbaiki mutu perkhidmatan ke tahap lima bintang dan kejayaan yang diperolehi ini membuktikan industri dan pelanggan mengiktiraf perkhidmatan yang disediakan MAS, sekali gus melengkapkan siri kejayaan yang dicapai selama ini.
    "Ini kerana untuk empat tahun berterusan bermula 2005, MAS turut diiktiraf sebagai Penerbangan Lima Bintang oleh Skytrax, sekali gus menjadikannya antara enam syarikat penerbangan dunia yang menerima anugerah tertinggi itu," katanya selepas menerima anugerah berkenaan di Grosvenor House, dekat sini, malam tadi.

    MAS sebelum ini turut memenangi anugerah `Kakitangan Kabin Terbaik Dunia' oleh Skytrax selama enam tahun iaitu 2001 hingga 2004, 2007 dan 2009.

    Comment


    • #3
      Polis tembak mati lima geng PCO Boy




      SHAH ALAM: Polis menembak mati lima penjenayah kumpulan PCO Boy termasuk ketua kumpulannya di Jalan Sungai Keramat, Kapar, Klang, awal pagi tadi.

      Ketika kejadian penjenayah terbabit disyaki dalam perancangan untuk menyamun dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa. Bagaimanapun, ketika polis cuba menahan untuk pemeriksaan, suspek memecut dan berlaku kejadian berbalas tembakan.

      Comment


      • #4
        Mangsa banjir terus meningkat di Kelantan




        KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 2,558 orang apabila lebih ramai mangsa banjir di kawasan Rantau Panjang dipindahkan berikutan paras air Sungai Golok kekal pada paras bahaya.

        Seramai 2,031 mangsa banjir di negeri itu dipindahkan malam tadi.

        Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata jumlah itu meningkat apabila mangsa banjir di Pasir Mas terus bertambah kepada 2,190 orang berbanding malam tadi diikuti Machang (190), Tanah Merah (75), Tumpat (54) dan Kuala Krai (49).

        Bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang jam 9 pagi ini mencatatkan 10.29 meter (bahaya 9 meter) iaitu surut berbanding malam tadi 10.42 meter.

        Limpahan air Sungai Golok itu turut melumpuhkan kegiatan harian penduduk dan peniaga di pekan Rantau Panjang yang menjadi Zon Bebas Cukai terkenal.

        Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tambatan Diraja di sini juga sudah surut di bawah paras bahaya dengan Kusial 14.91 meter (waspada 12 meter/bahaya 16 meter) dan Tambatan Diraja 4.11 meter (waspada 3 meter/bahaya 5 meter).
        Tiada jalan utama yang dilaporkan ditutup kecuali jalan ke pusat percutian di Kampung Tikat, Pantai Cahaya Bulan yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

        Cuaca di Kelantan pagi ini cerah. - Bernama

        Comment


        • #5
          Banjir sekali lagi landa Perlis




          KANGAR: Setelah surut pagi semalam, banjir sekali lagi lagi melanda Perlis dengan 54 orang dari kawasan Alor Biak, dekat sini dipindahkan ke dua pusat pemindahan malam tadi.

          Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Tugas tugas Khas negeri, Mansor Jusoh, berkata mereka dipindahkan mulai 8 malam tadi sehingga awal pagi tadi.

          Katanya 39 orang ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, manakala 15 lagi di Dewan Seri Malau, Beseri yang dijadikan pusat pemindahan, mulai malam tadi.

          Mansor yang meninjau keadaan banjir sejak semalam sehingga awal hari ini berkata antara kawasan lain yang turut dinaiki air sejak petang semalam ialah Arau, Repoh, Santan dan Alor Ara.

          Beliau menasihati penduduk di kawasan yang dilanda banjir supaya mematuhi arahan pihak berkuasa jika diperlukan berpindah.

          Beliau sedih kerana ada di kalangan mangsa yang enggan berpindah meskipun rumah mereka dimasuki air dan merbahaya untuk diduduki.
          Katanya bantuan makanan dan lain-lain barangan keperluan hanya diperuntukkan kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

          "Jika mereka tak pindah, sukar untuk mereka mendapatkan bantuan makanan sebagaimana mangsa yang mematuhi arahan pindah," katanya.

          Beliau berharap keadaan banjir akan kembali pulih berikutan cuaca cerah hari ini berbanding semalam apabila hujan turun sepanjang hari.

          Semalam semua tiga pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dan dewan orang ramai Titi Tinggi Hilir ditutup berikutan 245 mangsa dari kawasan Titi Tinggi, Panggas dan Batu Bertangkup yang ditempatkan di situ dibenarkan pulang kerana banjir mulai surut. - Bernama

          Comment


          • #6
            Isteri PM dikurnia darjah kebesaran tertinggi Sabah




            KOTA KINABALU: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menerima anugerah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), darjah kebesaran tertinggi Sabah, di Istana Negeri, di sini.

            Rosmah menerima anugerah SPDK yang membawa gelaran 'Datuk Seri Panglima' daripada Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah.

            Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir menyaksikan upacara penyampaian anugerah sempena ulang tahun Ahmadshah yang ke-63.

            Turut hadir pada istiadat ringkas pengurniaan darjah itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Juhar Mahiruddin, timbalan-timbalan ketua menteri Datuk Yahya Hussin dan Datuk Peter Pang En Yin, menteri-menteri kabinet negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman. - Bernama

            Comment


            • #7
              Menteri Pelancongan ketuai delegasi ke WTM




              LONDON: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen akan mengetuai delegasi Malaysia bagi menyertai World Travel Market (WTM) ke-30 mulai 9 hingga 12 November ini, di Pusat Pameran Excel di sini.

              Pada majlis itu, Dr Ng juga akan mengadakan mesyuarat dan temu bual dengan pengusaha pelancongan utama dan penggiat utama pelancongan di United Kingdom.

              Dr Ng juga akan menjadi hos majlis koktail bagi penggiat utama pelancongan dan melancarkan video portal online mengenai Malaysia, TrulyAsia.TV, yang boleh diakses dalam pelbagai bahasa.

              Duta Pelancongan Malaysia Datuk Seri Jean Todt yang juga Presiden Persekutuan Internationale de l''Automobile (FIA) dan pembuat kasut terkenal Datuk Jimmy Choo juga akan hadir.

              Delegasi Malaysia yang mengandungi kira-kira 77 peserta dari 38 pertubuhan termasuk hotel, pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan dan lembaga pelancongan negeri dari Pulau Pinang, Selangor, Sabah, dan Kuala Lumpur dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

              Lebih daripada 190 negara dijangka mengambil bahagian. - Bernama

              Comment


              • #8
                Banjir di Terengganu semakin baik




                KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda empat daerah di Terengganu sejak Jumaat lalu pada umumnya semakin baik pagi ini dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan kini hanya 57 orang berbanding 534 orang, petang semalam.

                Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara, Terengganu berkata sehingga 9 pagi ini empat pusat pemindahan masih beroperasi iaitu masing-masing satu di Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

                Di Besut, pusat pemindahan yang masih dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Kampung La (satu keluarga enam orang), di Sekolah Kebangsaan Tok Kah, Dungun (tiga keluarga sembilan orang), Balai Raya Kampung Bukit Tadok Hulu Terengganu (tujuh keluarga 28 orang) dan Dewan Sivik Sungai Tong (empat keluarga 14 orang).

                Jurucakap itu berkata, Jalan Tok Kah-Lintang, Dungun ditutup kepada semua kenderaan ringan kerana ditenggelami air setinggi 0.5 meter.

                Sementara di Hulu Terengganu, jalan yang ditutup ialah Jalan Matang-Nibong di Kampung Telemong dan Jalan Bukit Perah-Kampung Jah, masing-masing ditenggelami air sedalam satu meter dan ditutup kepada semua kenderaan.

                Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air sungai Nerus di Kampung Bukit jam 9 pagi ini masih ditahap bahaya.
                Kedudukan paras air di situ ialah 12.98 meter (bahaya 12 meter).

                Bagaimanapun, jurucakap itu berkata pada keseluruhannya paras air di sungai utama di Terengganu yang berada ditahap bahaya dua hari lalu, kini berada pada tahap biasa.

                Cuaca di Terengganu hari ini kembali terang. - Bernama

                Comment


                • #9
                  Calon MCA mungkin ditolak rakyat jika kemelut tidak selesai: PM




                  KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak menegaskan MCA mesti selesaikan masalah dalaman parti itu dengan segera atau menghadapi kemungkinan calonnya ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

                  Perdana Menteri berkata, kemelut berterusan tanpa penyelesaian MCA bukan hanya akan merugikan parti itu tetapi turut menjejaskan Barisan Nasional (BN) dalam jangka masa panjang.

                  Perdana Menteri yang juga Pengeris BN berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di 1Borneo, di sini, sebentar tadi.

                  Comment


                  • #10
                    638 mangsa banjir masih di pusat pemindahan Padang Terap




                    ALOR SETAR: Seramai 59 lagi mangsa banjir di Padang Terap dipindahkan pagi ini apabila beberapa buah kampung mula dinaiki air malam tadi menjadikan seramai 638 orang di daerah itu kini ditempatkan di pusat pemindahan.

                    Pegawai Daerah Padang Terap, Mat Noh Ahmad, berkata mereka ditempatkan bersama 579 mangsa yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

                    "Bilangan paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Seri Bakti seramai 265 orang dari 60 keluaraga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

                    Sementara itu, beliau berkata paras air di Sungai Kuala Nerang jam 11 pagi ini mencatatkan 18.02 meter melebihi paras bahaya 17.7 meter. - Bernama

                    Comment


                    • #11
                      Peguam Negara nafi masuk campur tangguh hukuman Kartika




                      ROMPIN: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail menafikan pihaknya masuk campur dalam penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

                      Beliau berkata pelaksanaan hukuman berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan pihaknya menghormati sebarang keputusan yang dibuat mahkamah berkenaan.

                      "Tidak ada..tak kanlah saya (masuk campur), siapalah saya untuk tangguhkan hukuman, saya sendiri tegas pada pegawai saya supaya tidak lengahkan kes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Persidangan dan Khidmat Masyarakat Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara, di Kampung Leban Chondong di sini.

                      Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan hukuman ke atas kartika, 32, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lalu.

                      Ditanya pandangan beliau sama ada hukuman berkenaan perlu disegerakan, Abdul Ghani berkata, semua kes seharusnya disegerakan namun ia perlu diteliti secara mendalam bagi menegakkan keadilan.

                      "Saya percaya mesti ada sebab tertentu (penangguhan hukuman), walaupun kita nak cepat, kita harus ingat ''justice hurried is justice buried''," katanya.
                      Berhubung keputusan itu yang dipertikaikan sesetengah pihak, Abdul Ghani berkata semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah sama ada syariah atau sivil.

                      "Janganlah sebab ada keputusan yang kita tidak suka kita terus bising, sama juga dengan Mahkamah Sivil, rayulah pada mahkamah lebih tinggi, terpulang kepada mahkamah itu untuk buat keputusan," katanya.

                      Sementara itu, program khidmat masyarakat selama empat hari bermula Jumaat lalu itu diadakan bertujuan menjalin hubungan antara bahagian-bahagian di Jabatan Peguam Negara dengan masyarakat setempat selain menyedarkan orang ramai mengenai maklumat perundangan. - Bernama

                      Comment


                      • #12
                        Tiga maut serangan pengebom berani mati di Pakistan




                        PESHAWAR: Seorang pengebom berani mati meletupkan diri mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh di utara Pashawar, hari ini.

                        Menurut polis, kejadian itu juga menyebabkan 12 yang lain cedera. - AFP

                        Comment


                        • #13
                          SPRM bebas siasat termasuk menantu: Nik Aziz



                          KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata terpulanglah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sesiapa sahaja termasuk menantunya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang dituduh melakukan pecah amanah.

                          Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, sekiranya dakwaan itu benar seperti dakwaan penulis blog terhadap menantunya itu, beliau sendiri akan mengucapkan terima kasih tetapi jika perkara itu tidak benar, penulis blog terbabit akan menanggung dosa kerana membuat tuduhan melulu.

                          "Kalau dia (penulis blog) buat perkara yang tidak ada, dia tanggung dosa, tetapi sekiranya betul saya ucapkan terima kasih.

                          "Sudah dua kali dah (disiasat), tidak ada apa pun, ini adalah blog-blog mainan orang yang bermasalah...dia buat (cerita) benda tidak ada (tidak benar) dia tanggung dosa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Pulau Melaka di sini, hari ini.

                          SPRM baru-baru ini telah menyiasat dakwaan itu dan telah ke pejabat Abdul Ariffahmi bagi menyiasat dakwaan penulis blog tersebut.

                          Nik Aziz yang mengakui mengenali penulis blog terbabit berkata berkemungkinan ia juga didalangi oleh "orang dalam" yang menyampaikan maklumat kepada penulis blog terbabit bagi tujuan tertentu.
                          "Kalau dengan niat untuk mengkhianati, dia tanggung dosa dan kalau dia buat dengan niat bersih, kami lebih beringat," katanya.

                          - Bernama

                          Comment


                          • #14
                            Najib tak campur tangan kemelut MCA kecuali dijemput



                            KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman MCA, kecuali sekiranya beliau menerima jemputan yang jelas dari parti itu untuk berbuat demikian.

                            Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa bahawa MCA seharusnya menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin bagi memastikan ia muncul sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu.

                            Menjawab satu soalan, beliau berkata Pelan Perpaduan Lebih Menyeluruh yang sedang diusahakan dalam parti itu, dicetuskan kepimpinan MCA sendiri dalam usaha menyelesaikan masalah mereka.

                            "Ia bukan pelan saya, tapi ditampilkan oleh kepimpinan MCA sendiri. Mereka ada memaklumkan kepada saya mengenainya, dan saya beritahu mereka bahawa apa yang paling penting adalah saya mahukan sebuah parti MCA yang kukuh dan bersatu. Kemudian baru MCA boleh mewakili majoriti komuniti Cina," katanya.

                            Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kongres Tahunan Parti Demokratik Liberal di 1Borneo di sini hari ini.

                            Perdana Menteri berkata MCA tidak punyai pilihan, mereka perlu menangani masalah dalaman dengan segera kerana sekiranya ia tidak diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, ada kemungkinan calon MCA ditolak orang ramai pada pilihan raya akan datang.
                            Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata sudah tiba masanya bagi MCA meminta Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional, untuk masuk campur dan cuba menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.

                            MCA mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 10 Oktober lalu dalam usaha menyelesaikan krisis kepimpinan yang dihadapinya, namun hasilnya dilihat masih belum dapat merungkai masalah yang melanda parti itu. - Bernama

                            Comment


                            • #15
                              Dua kapal pindah minyak ditahan di Pengerang




                              JOHOR BAHRU: Dua kapal ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang hari ini.

                              Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan mengesan kesalahan itu setelah mendapati kedua-dua kapal itu berada dalam keadaan berhimpit-himpit antara satu sama lain di kedudukan 2.8 batu nautika selatan Tanjung Stapa pada jam 11.38 pagi.

                              Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Che Hassan Jusoh, berkata kapal yang melakukan pemindahan minyak jenis Marine Gas Oil (MGO) itu ialah M.T Rahmah 1 dan M.T Jet.

                              "Terdapat 303,000 liter minyak di dalam kapal M.T Rahmah 1 milik syarikat Indonesia yang berdaftar di Panama itu dan telah memindahkan 1,000 liter ke kapal M.T Jet," katanya dalam satu kenyataan di sini.

                              M.T Jet tidak memiliki sebarang dokumen kapal.

                              Sebuah lagi kapal, M.T Ktos II yang tidak mempunyai dokumen kapal juga ditahan di kawasan yang sama kerana gagal membayar dius api.
                              Semua 17 anak kapal berkenaan adalah warganegara Indonesia.

                              Ketiga-tiga kapal kini ditahan di perairan Pengerang untuk siasatan lanjut.

                              Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan ''ship to ship activity'' dan gagal membayar dius api serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

                              Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya. - Bernama

                              Comment

                              Working...
                              X