Announcement

Collapse
No announcement yet.

[4/11/2009] : Berita Harian | Berita2 Semasa

Collapse
X
  • Filter
  • Time
  • Show
Clear All
new posts

  • [4/11/2009] : Berita Harian | Berita2 Semasa

    KPI: Najib temui menteri Jumaat ini
    Oleh Wan Jailani Razak

    SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak akan menemui semua menteri Jumaat ini bagi melihat sejauh mana prestasi kementerian masing-masing mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan komitmen Perdana Menteri yang tegas untuk mengubah kualiti hidup rakyat negara ini dengan meningkatkan keberkesanan kerajaan sejak memegang jawatan itu April lalu.

    "Kita tak boleh main-main, kena serius. Saya percaya kita nak membuktikan walau apa pun keadaannya, Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti lebih berwibawa, berkemampuan untuk menyelesaikan dan membantu membela nasib rakyat.

    "Kita lihat apa yang berlaku dalam parti pembangkang, sudah agak macam berkecamuk. Sebab itu ada wakil rakyat sudah meninggalkan parti mereka, tidak masuk Umno tetapi sokong Umno, Badrul (Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah).

    "Saya dengar ramai lagi nak keluar kerana sudah hilang keyakinan kepada pihak parti pembangkang, tidak berkemampuan. Ini bukan saja berlaku di Selangor tetapi juga di negeri lain dan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas serta DAP.

    "Pelbagai masalah berbangkit (di kalangan parti pembangkang) yang menunjukkan tidak ada kemungkinan mereka boleh mentadbir sesebuah negeri sebaik BN," katanya ketika menghadiri Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Warga Emas, di sini, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam dan pemimpin tempatan dari Umno, MCA dan MIC.

    Muhyiddin berkata, BN sudah berada di landasan yang jauh lebih baik berbanding setahun lalu kerana sudah ada harapan baru dan keyakinan untuk terus disemarakkan pada masa akan datang.

    Sehubungan itu, beliau mengajak pemimpin turun ke bawah dan jelapang, bermesra dengan rakyat sekerap mungkin, selesaikan masalah mereka sebaik mungkin, setidak-tidaknya masih ada upaya di kalangan pimpinan tempatan kerana BN masih menguasai peringkat Pusat.

    "Dengan sokongan pimpinan Pusat, kita akan membantu memperkukuhkan parti kita di peringkat negeri walaupun tidak menguasai kerajaan di peringkat negeri.

    "Saya yakin komitmen pimpinan parti di peringkat negeri adalah jelas dan sasaran kita tidak lain tidak bukan untuk pastikan kita dapat menebus semula negeri kita, kembalikan kuasa politik kepada BN supaya kita dapat terus membela nasib rakyat," katanya.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap hari ada langkah baru yang hendak dipelopori pemimpin negara untuk membela nasib segenap lapisan masyarakat.

    Justeru, katanya, adalah penting bagi barisan kepemimpinan BN dari peringkat atas hingga akar umbi bersama terbabit mempercepatkan proses perubahan.
    "Saya menyertai Nogold Speakout"

  • #2
    Dadah: Pegawai AADK, 4 polis bantuan ditahan




    KUALA TERENGGANU: Polis menahan enam orang termasuk seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu bersama empat polis bantuan dan seorang wanita berusia 23 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Jaya Pusasa awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Narkotik Negeri, Supt Roslan Abd Wahid, berkata polis turut merampas 2.5 gram syabu bernilai RM1,000 dalam serbuan jam 2.30 pagi itu.

    Comment


    • #3
      Koroner benar mayat Teoh dikeluarkan untuk bedah siasat kedua




      SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, hari ini membenarkan mayat Teoh Beng Hock dikeluarkan untuk membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan.

      Mahkamah juga membenarkan Ahli Patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan sebagai pemerhati dalam urusan bedah siasat kali kedua berkenaan.

      Teoh, pembantu politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati, 16 Julai di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan dalam kes dakwaan salahguna peruntukan negeri di pejabat MACC Selangor di bangunan sama.


      Dr Porntip sebelum ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ada 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri dalam kes kematian Teoh.

      Dr Porntip kini Ketua Pengarah Institut Sains Forensik Pusat, Kementerian Kehakiman, Thailand, dan mempunyai 27 tahun pengalaman dalam bidang sains forensik.

      Comment


      • #4
        Cubaan rujuk PM ke jawatankuasa pilihan gagal




        KUALA LUMPUR: Cubaan Ahli Parlimen pembangkang, Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor), untuk merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen kerana didakwa membuat kenyataan menyeleweng Dewan Rakyat gagal setelah Speaker membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya.

        Dr Dzulkefly yang sebelum itu tidak berpuas hati dengan jawapan Najib berhubung isu pembayaran royalti minyak kepada Kelantan mendakwa Perdana Menteri memberi fakta salah berhubung syarat pemberian royalti kepada negeri-negeri berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

        "Di dalam Akta Kemajuan Petroleum tidak ada syarat yang menyatakan untuk membolehkan negeri-negeri mendapat lima peratus royalti minyak, petroleum itu mesti diperolehi dalam lingkungan tiga meter nautika dari pesisir pantai.


        "Malah berdasarkan Laporan Kewangan Petronas, duit yang diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu dipanggil royalti dan bukannya wang ehsan," kata Dr Dzulkefly yang membangkitkan perkara itu sebaik sesi soal jawab lisan berakhir.

        Bagaimanapun, cubaannya dipatahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang menjelaskan bahawa terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang Ahli Parlimen boleh dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan.

        "Dalam sesi soal jawab apa pun, jawapan yang diberi oleh sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri boleh dikatakan menyeleweng kalau memenuhi tiga syarat iaitu fakta memang tak betul, yang menjawab tahu fakta itu tidak betul dan meneruskan hujah dan ketiga ada niat hendak menyelewengkan.
        "Jawapan tadi daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi saya tidak melanggar mana-mana peraturan mesyuarat," katanya yang terus disanggah Ahli Parlimen pembangkang termasuk Dr Dzulkefly, Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) dan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

        Justeru, Pandikar Amin berkata sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan beliau, mereka seharusnya mengikut peraturan Dewan dengan mengemukakan usul terlebih dahulu sebelum membangkitkan perkara itu dalam persidangan.

        Pandikar Amin kemudian menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad sebelum memberi laluan kepada Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) untuk memulakan perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2010. - Bernama

        Comment


        • #5
          Perlu ada mekanisme tarik SME sertai akuakultur: TPM




          KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mewujudkan mekanisme khusus untuk menarik lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) terbabit dalam sektor akuakultur.

          Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mekanisme itu penting bagi membolehkan SME membantu dalam meningkatkan pengeluaran industri perikanan di negara ini dan mengembangkan potensi sektor akuakultur ke peringkat antarabangsa.

          "Apa yang penting bagaimana kita mahu menarik pelaburan sama ada pelaburan sederhana atau besar. Jadi, saya fikir sektor ini berpotensi jika lebih ramai pengusaha SME boleh terbabit dalam sektor akuakultur," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Akuakultur Asia-Pasifik dan Ekspo Antarabangsa Makanan Laut Malaysia 2009 PWTC di sini hari ini.


          Katanya, antara mekanisme yang sewajarnya disediakan oleh kementerian adalah untuk mewujudkan kembali tabung pembangunan akuakultur yang pernah disediakan dulu serta memudahkan proses kelulusan pinjaman yang dipohon oleh pengusaha SME.

          Muhyiddin berkata, kementerian juga perlu meluaskan kerjasama dengan Mardi bagi membantu SME daripada segi pemprosesan dan teknologi agar lebih banyak produk berkualiti dapat dihasilkan sejajar dengan peningkatan penggunaan produk berasaskan ikan di seluruh dunia.

          "SME juga boleh bekerjasama dengan sektor swasta bagi membantu membangunkan ternakan akuakultur dengan membeli daripada syarikat swasta yang mengusahakan akuakultur untuk diproses dalam bentuk makanan sejuk beku.
          Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan akan bersungguh-sungguh memaju dan mengembangkan pasaran produk berasaskan perikanan dan hasil pertanian buatan Malaysia di peringkat global.

          "Malaysia tidak mempunyai pilihan kecuali bergantung kepada pertanian untuk memenuhi keperluannya," katanya.

          Persidangan dan ekspo yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu turut dihadiri lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara. - Bernama

          Comment


          • #6
            Pemimpin bawahan sekat ahli baru masuk Umno: Dr Mahathir




            PUTRAJAYA: Kepimpinan Umno perlu sedar bahawa keputusan yang dibuat oleh pemimpin cawangan atau peringkat bawahan mungkin menghalang orang baru iaitu golongan profesional muda menyertai parti itu.

            Bekas Perdana Menteri yang juag bekas Presiden Umno. Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tidak akan berlaku pembaharuan tanpa orang baru dalam parti serta parti itu akan semakin kecil.

            "Saya fikir perkara penting bagi kepimpinan Umno adalah kesedaran bahawa Umno semakin kecil kerana pemimpin peringkat bawahan sebenarnya menyekat kemasukan orang baru menyertai Umno.


            "Jika tiada pembaharuan, mereka (pemimpin peringkat bawahan) akan menjadi tua dan bersara namum mereka sahaja yang ada untuk rakyat membuat pilihan," katanya.

            Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis siri wacana Perdana ke-10 bertajuk "Peranan Wanita dan Pemuda Dalam Pembangunan Negara" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

            Semasa sesi soal-jawab mengenai ucaptamanya, Dr Mahathir juga mengulas bahawa is bukan kegagalan sistem tetapi salah guna pendekatan yang berlaku di peringkat bawahan.
            Beliau menjelaskan bahawa untuk menjadi seorang ahli Umno, seseorang itu terlebih dahulu perlu menyertai cawangan berbanding berdaftar secara langsung dengan parti.

            Bagaimanapun, pemimpin peringkat bawahan mungkin melihat orang baru ini sebagai ancaman kepada kedudukan mereka dan berkomplot untuk menyingkirkan orang baru ini.

            "Sistem ini bukan teruk tetapi pemimpin peringkat cawangan perlu memahami bahawa untuk Umno berjaya, Umno memerlukan lebih ramai pemimpin handal," katanya.

            Mengenai krisis MCA, Dr Mahathir berkata parti itu perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukan kepentingan peribadi.
            Dr Mahathir juga mengingatkan golongan pemuda supaya memberi lebih tumpuan kepada pendidikan dan menimba ilmu serta kemahiran supaya menjadi pemimpin yang berwibawa dan tidak membuang masa mengadakan demonstrasi.

            Dalam perkembangan lain, beliau berkata undang-undang dan peraturan yang dilihat mendiskriminasi golongan wanita perlu dikaji.

            Katanya dalam masyarakat Islam terdapat beberapa injunksi Islam yang perlu dikaji sama ada ianya benar-benar Islam atau tidak yang mendiskriminasi wanita.

            Bagaimanapun, katanya, negara ini bertuah kerana keadaan tidak begitu buruk di sini berbanding negara Islam lain.

            "Kebebasan Islam di negara ini jauh lebih baik berbanding negara Islam lain dan dalam keadaan tertentu negara bukan Islam juga," katanya.

            Dr Mahathir menjawab soalan seorang wakil kumpulan ''Sisters in Islam'' yang bertanya sama ada undang-undang yang tidak mencerminkan perubahan peranan wanita dalam masyarakat perlu diubah di mana wanita kini menjadi rakan dan bukan didominasi. - Bernama

            Comment


            • #7
              Kos tanah PKFZ 67 peratus lebih tinggi: PAC




              KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini melaporkan bahawa kos tanah bagi setiap kaki persegi dalam projek Pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) adalah RM41.76 iaitu 67 peratus lebih tinggi daripada harga RM25 yang ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

              Laporan itu menyatakan jika tanah bagi projek itu diperolehi mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan hanya perlu membelanjakan RM442.13 juta dan menjimatkan sejumlah RM645.87 juta.

              Selain itu, pengenaan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun bagi bayaran balik tanah secara tertunda sebelum perjanjian jual beli ditandatangani oleh Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), Datin Paduka OC Phang, telah menyebabkan berlaku pengenaan caj dua kali terhadap kerajaan.


              Ini kerana semasa JPPH menetapkan harga tanah pada RM25 sekaki persegi, jabatan itu telah mengambil kira faedah sebanyak 7.5 peratus untuk bayaran balik tertunda selama 15 tahun.

              PAC juga mendapati bahawa kelulusan dari kerajaan tidak diperolehi berhubung pengenaan kadar faedah tersebut.

              "Pengenaan kadar faedah ini menyebabkan LPK perlu membayar kos pembelian tanah berjumlah RM1.088 bilion di samping faedah tambahan berjumlah RM730 juta menjadikan jumlah pembayaran RM1.818 bilion," menurut laporan itu.
              Phang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan juga didapati gagal mematuhi arahan dari kerajaan dan Kementerian Kewangan dalam urusan perolehan tanah itu untuk projek PKFZ.

              Selain itu, arahan Ketua Setiausaha Perbendaharaan supaya tanah bagi projek itu diperolehi secara pengambilan balik mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan dan kemudiannya disewa pajak kepada LPK juga tidak dipatuhi.

              Jawatankuasa itu juga mendapati tindakan Phang menandatangani perjanjian jual beli termasuk membangunkan infrastruktur bernilai RM1.088 bilion adalah menyalahi peraturan kewangan kerajaan kerana beliau tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

              Tindakan Phang juga didapati tidak selaras dengan kehendak Port Authorities Act 1963 yang menetapkan bahawa beliau perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah LPK terlebih dahulu.
              Laporan itu juga menyatakan bahawa LPK wajar memastikan bahawa pemaju projek PKFZ iaitu Kuala Dimensi Sendirian Berhad (KDSB) telah melaksanakan semua kerja infrastruktur seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli tanah sebelum menjelaskan semua bayaran harga tanah yang akan tamat pada 2017.

              Jawatankuasa itu turut mendapati pelantikan KDSB sebagai pemaju oleh LPK tidak dibuat secara teratur kerana Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Pengurus Besar LPK itu gagal mematuhi arahan Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.

              KDSB telah dilantik sebagai kontraktor oleh LPK bagi projek pembangunan PKFZ secara rundingan terus.

              Laporan itu menyatakan bahawa pada Jun 2001, Kementerian Kewangan menetapkan kontrak kerja pembangunan dibuat secara tender terbuka dan kos pembangunan projek PKFZ dibiayai melalui terbitan bon jangka panjang dengan jaminan kerajaan.

              Perjanjian jual beli tanah yang ditandatangani KDSB dan LPK pada November 2002 juga mensyaratkan KDSB dilantik sebagai kontraktor pembangunan PKFZ walau pun kelulusan daripada Kementerian Kewangan tidak diperolehi untuk dikecualikan dari proses tender.

              Menurut laporan itu, kelulusan daripada Kementerian Kewangan adalah perlu bagi membolehkan tapisan dibuat untuk menentukan tahap keupayaan kewangan dan kepakaran KDSB melaksanakan projek yang melibatkan perbelanjaan yang begitu besar.

              "Kegagalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Pengurus Besar LPK mematuhi arahan Kementerian Kewangan dan memohon kelulusan dari kerajaan berhubung dengan pelantikan KDSB sebagai pemaju projek adalah satu kesalahan dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka," menurut laporan itu. - Bernama

              Comment


              • #8
                Gempa Iran cederakan 700 mangsa




                TEHRAN: Gempa bumi di Iran mencederakan sekurang-kurang 700 penduduk di selatan negara itu.

                Agensi media Iran melaporkan 100 yang tercedera sudah dimasukkan ke hospital manakala yang lain cedera ringan.

                Gempa bumi pada magnitud 4.9 itu menggegarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas pada jam 2.56 pagi waktu tempatan, menyebabkan tenaga elektrik dan talian telefon terputus. - AP

                Comment


                • #9
                  Polis Iran bertempur dengan penunjuk perasaan



                  TEHRAN: Saksi berkata pasukan keselamatan Iran bertempur dengan penunjuk perasaan pembangkang di satu bahagian di Tehran.

                  Mereka berkata pihak berkuasa menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menganjur perarakan antikerajaan di medan utama bandaraya itu.

                  Tunjuk perasaan itu dilangsungkan ketika berlangsungnya rapat umum rasmi sempena ulang tahun ke-30 penawanan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tehran.


                  Tiada laporan awal mengenai kecederaan atau penangkapan penunjuk perasaan terbabit.

                  Di luar bangunan bekas Kedutaan AS, ribuan orang ramai berkumpul pada rapat umum antiAmerika. - AP

                  Comment


                  • #10
                    Suri rumah mengaku tidak bersalah memperdagang manusia




                    PETALING JAYA: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, September lalu.

                    Anita Nordin, 43, dari Petaling Jaya didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Indonesia, Deden Firman, 27, bagi tujuan mengeksploitasinya di sebuah rumah bernombor 5 PJS/7/15D Bandar Sunway, jam 2 petang, 29 September lalu.

                    Ibu kepada tiga anak itu juga didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas seorang wanita Indonesia, Patimah, 36, pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.


                    Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Anita yang diwakili peguam bela T Mishant, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

                    Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Zahari, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin bagaimana pun beliau tidak membantah sekiranya mahkamah memberikan jaminan dengan menawarkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

                    "Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan dari peguam bela dan mengambil kira faktor kesihatan kamu (tertuduh) mahkamah membenarkan kamu diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin," kata Hakim Balqis Aini Mohd Ali.
                    "Dari segi undang-undang kamu tidak bersalah selagi kesalahan itu belum dibuktikan tetapi ini tidak bermakna kamu boleh mengambil ringan perkara ini di samping kamu perlu menjaga kesihatan kamu," kata Balqis Aini.

                    Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula. - Bernama

                    Comment


                    • #11
                      Liow tolak tawaran sertai pelan perpaduan




                      KUALA LUMPUR: Datuk Seri Liow Tiong Lai, pernah ditawarkan menjadi sebahagian daripada pelan perdamaian lebih menyeluruh oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tetapi beliau menolaknya, kata sumber dalaman parti itu.

                      Melalui pelan itu, Liow diberi ruang untuk mengekalkan kedudukan sebagai timbalan presiden, manakala Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula akan dilantik sebagai setiausaha agung.

                      Bagaimanapun, Liow menolak pelan itu pada saat-saat akhir dan mengambil keputusan untuk terus membuat desakan supaya pemilihan baru diadakan bagi merungkai kebuntuan yang timbul hasil daripada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 12 Oktober.


                      "Sejak beberapa hari lalu, Ong dan Liow mengadakan perbincangan melalui wakil masing-masing. Bagaimanapun, Liow tidak memberi sebarang keputusan.

                      "Ong menunggu di rumah beliau hingga tengah malam Isnin bersama wakilnya. Tapi, Liow tetap tidak muncul dan membuat keputusan untuk tidak menerima pelan perpaduan itu.

                      Sumber yang sama berkata, walaupun pelan perpaduan itu membabitkan semua pemimpin MCA, tetapi ditolak Liow dan kumpulannya.
                      Sumber yang sama, berkata dalam melaksanakan pelan itu dan bagi memenuhi selera kebanyakan kumpulan dalam parti berkenaan, tidak semua penyokong Dr Chua dilantik sebagai penyandang jawatan.

                      "Contohnya, tidak semua tiga ahli jawatankuasa pusat secara lantikan yang dilantik oleh Ong semalam adalah orang Dr Chua.

                      "Jika dilihat betul-betul, hanya anak lelakinya, Chua Tee Yong, adalah dari kem Dr Chua. Yang lain seperti Datuk Tan Chin Ming, sebenarnya lebih condong kepada bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, manakala Datuk Donald Lim pula tidak memihak kepada sesiapa," kata sumber itu.

                      Bekas naib presiden MCA, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata walaupun tidak syak lagi keadaan yang wujud sekarang sungguh membimbangkan MCA, tetapi ahli parti itu perlu memberi peluang kepada Ong dan Dr Chua untuk bekerjasama dan melaksanakan pelan perpaduan yang lebih menyeluruh.
                      "Sama ada EGM diadakan atau tidak, yang penting, pelan itu perlu mendapat sokongan ahli perwakilan. Oleh itu, pada EGM akan datang, pelan itu perlu diluluskan oleh ahli perwakilan," katanya. - Bernama

                      Comment


                      • #12
                        Keluar dari zon selesa buruh murah, subsidi: Najib




                        KUALA LUMPUR: Subsidi dan tenaga kerja murah adalah antara lima amalan selesa yang perlu ditangani bagi membolehkan sektor perniagaan dan negara maju di peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

                        "Malangnya dalam pada kita bergerak daripada negara berasaskan pertanian kepada perindustrian, kita sudah terlalu leka terhadap tenaga kerja asing yang murah sehinggakan ia tidak lagi mampan dalam pasaran global," katanya pada jamuan makan tengah hari perniagaan Bankers Club di sini hari ini.

                        Najib berkata, bila negara mahukan sektor perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan dan perniagaan tradisional, bersaing di peringkat antarabangsa, semua mesti bergerak keluar daripada persaingan mendapatkan pekerjaan bergaji rendah dalam sektor bernilai rendah kepada teknologi baharu.


                        Katanya, teknologi baru itu adalah berasaskan sektor bioteknologi, kewangan Islam dan industri perkhidmatan bernilai tinggi yang lain, yang memberi nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi.

                        "Namun kita terlalu tertarik untuk bergantung kepada tenaga buruh murah di seluruh rantau ini dan begitu selesa dengannya," katanya. - Bernama

                        Comment


                        • #13
                          Salah dari segi moral untuk minta bonus: Najib




                          KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata adalah salah dari segi moral untuk meminta mendapatkan bonus kerana negara masih bergelut untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja.

                          ÔÇťAdalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus apabila ekonomi belum pulih. Saya sentiasa memberitahu Ceupacs (Presiden Omar Osman) bahawa ia tidak boleh bertindak seperti kesatuan sekerja, setiap kali meraung meminta bonus (setiap kali pembentangan bajet) kerana anda mahu menjadi popular di kalangan ahli anda," katanya berucap di forum makan tengah hari perniagaan Bankers' Club di sini.

                          Cuepacs, badan induk bagi kesatuan pekerja sektor awam, kini mendesak kerajaan untuk mendapatkan bonus dua bulan bagi 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.


                          Najib berkata, dalam sektor swasta, pekerja dibuang dan keadaan itu tidak berlaku dalam perkhidmatan kerajaan.

                          Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna pekerja cemerlang tidak boleh diberi ganjaran tetapi malangnya sistem sedemikian tidak diwujudkan.

                          "Jika kita ada sistem yang memotivasikan mereka, tenaga kerja awam juga boleh meningkat untuk menjadi pekerja berprestasi tinggi. Kita sepatutnya memberi ganjaran kepada mereka.
                          "Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka menjadi yang kedua terbaik, tingkatkan prestasi mereka. Benar, sesuatu bantuan yang kecil perlu dihulurkan," katanya.

                          Menggunakan analogi golf, Najib berkata bantuan itu sama seperti handicap tetapi penerimanya perlu mengurangkan dari 24 kepada 18, 12 dan seterusnya kepada satu angka dan bersaing secara setara dengan pekerja lain.

                          "Ia juga sama dengan Bumiputera, dari masa ke semasa mereka perlu mengurangkan handicap masing-masing. Anda tidak boleh berada pada 24 sepanjang masa.

                          "Saya mengimpikan satu hari nanti apabila Bumiputera berupaya bersaing dengan sesiapa pun yang tiada handicap. Hari itu akan tiba. Jadi, kita kurangkannya perlahan-lahan.
                          "Bukan Bumiputera merasakan sistem semasa tidak adil tetapi saya jadikannya lebih adil. Setiap rakyat Malaysia akan dilayan dengan adil di negara ini," katanya. - Bernama

                          Comment


                          • #14
                            Lelaki dituduh bunuh isteri dengan asid




                            GEORGETOWN: Seorang lelaki berumur 53 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh isterinya dengan menyimbah asid serta mengakibatkan kecederaan terhadap anaknya.

                            Tan Teik Siew, seorang pegawai pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, dituduh membunuh dengan menyimbah asid pada isterinya, Cheong Swee Lin, 50, di rumah mereka di No 146D, Jalan Batu Lanchang di sini pada jam 3 pagi 24 Oktober lalu.

                            Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.


                            Tiada pengakuan direkodkan.

                            Terdahulu, peguamnya, R.Dev Chander, memohon kepada mahkamah supaya merujuk anak guamnya ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian.

                            Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengkaji kertas siasatan untuk menilai sekiranya tertuduh adalah seorang yang benar-benar waras.
                            Majistret Noor Aini Yusof, bagaimanapun, menolak permohonan peguam dan menetapkan sebutan kes itu, menunggu keputusan bedah siasat.

                            Di Mahkamah Sesyen kemudiannya pula, Tan yang berpakaian kasual dengan kemeja T berkolar, berseluar pendek dan berselipar, didakwa dengan kesalahan menyebabkan kecederaan teruk terhadap anak perempuannya Tan Hui Linn, 17.

                            Beliau dituduh menyerang Hui Linn dengan menyimbah asid ke muka dan bahagian hadapan badannya di rumah mereka di No 146D, Jalan Batu Lanchang kira-kira jam 3 pagi pada 24 Oktober lalu.

                            Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun itu, atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan itu.
                            Hakim Roslan Hamid tidak membenarkan ikat jamin keranan Tan masih menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan. - Bernama

                            Comment


                            • #15
                              Pesalah seks ganas terlepas hukuman sebat




                              KUANTAN: Seorang mekanik terlepas daripada hukuman tiga sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengenepikan hukuman itu yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen ke atasnya kerana melakukan seks ganas dan persetubuhan luar tabii dengan isterinya.

                              Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya, yang membenarkan rayuannya, turut mengurangkan hukuman penjara ke atas Khairulhisam Abdul Khalid, 35, daripada 10 tahun kepada enam tahun.

                              Pada 5 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan selepas Khairulhisam menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan mengadakan seks ganas dan melakukan seks luar tabii tanpa kerelaan isterinya.


                              Ketika mula-mula dihadapkan ke mahkamah pada 24 April lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

                              Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dengan isterinya kira-kira 3.15 petang pada 19 April lalu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan, dipenjara lima tahun.

                              Bagi kesalahan melakukan seks luar tabii tanpa kerelaan isterinya berusia 32 tahun itu kira-kira jam 3.20 petang tarikh yang sama, lelaki terbabit yang dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dipenjara 10 tahun dan tiga sebatan.
                              Hassan, bagaimanapun, memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh hukuman.

                              Tertuduh melalui peguamnya, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 September lalu.

                              Dalam rayuannya, peguambela perayu berhujah Hakim Mahkamah Sesyen tersilap dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal mempertimbangkan pengakuan salah perayu selain tidak membezakan kesalahan yang dilakukan itu ada kaitan dengan rumahtangga perayu berbanding kesalahan dalam kes-kes lain membabitkan kaum sejenis atau mangsa yang tidak dikenali. - Bernama

                              Comment

                              Working...
                              X