Announcement

Collapse
No announcement yet.

[24/10/2009] : Kosmo | Berita2 Semasa

Collapse
X
  • Filter
  • Time
  • Show
Clear All
new posts

  • [24/10/2009] : Kosmo | Berita2 Semasa

    RM191.5b untuk pacu ekonomi



    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

    Najib dalam ucapan bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

    Ia merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding RM207.9 bilion untuk bajet 2009.

    "Sesungguhnya, inilah bajet yang menyelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat,'' katanya sambil mendapat tepukan ahli-ahli Dewan Rakyat semalam.

    Beliau yang segak memakai baju Melayu biru mengambil masa kira-kira dua jam untuk membentangkan ucapan setebal 55 halaman itu.

    Beliau memberi jaminan kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.
    "Saya menyertai Nogold Speakout"

  • #2
    Habuan orang muda

    KUALA LUMPUR - Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam banyak memberi keuntungan kepada generasi muda khususnya golongan pelajar.

    Antara pengumuman beliau yang paling menceriakan warga kampus ialah tawaran pakej komputer mini atau netbook lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar pada kadar ansuran RM50 sebulan selama dua tahun bermula Januari ini.

    Najib berkata, pakej yang jauh lebih murah daripada harga pasaran itu memberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan mereka yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

    "Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawarkan oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar semua universiti tempatan,'' kata beliau yang juga Menteri Kewangan semasa berucap membentangkan Bajet 2010 di Parlimen semalam.

    Katanya, insentif tersebut adalah sebahagian daripada strategi memastikan pembangunan holistik dengan menjaga kebajikan pelajar.

    Pakej yang ditawarkan itu ternyata jauh lebih murah berbanding harganya di pasaran.

    Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa syarikat komputer di ibu kota menawarkan netbook berharga di antara RM1,299 sehingga RM2,099 bergantung kepada model dan spesifikasi.

    Bagi caj perkhidmatan jalur lebar, bayaran bulanan yang dikenakan bergantung kepada kelajuan perpindahan data dan syarikat perkhidmatan dengan bayaran bulanan RM48 sehingga RM188.

    Selain itu, Najib turut mengumumkan langkah menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa untuk para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan kelas pertama atau setaraf dengannya.

    Tidak cukup dengan itu, beliau juga mengumumkan rancangan membantu meringankan beban pelajar dengan tawaran kad diskaun tambang kereta api melalui kad diskaun 1Malaysia.

    "Kita akan memberi diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar,'' kata Najib.

    Katanya, kad diskaun pelajar 1Malaysia itu percuma dan boleh diperoleh daripada KTMB.
    "Saya menyertai Nogold Speakout"

    Comment


    • #3
      Cedera ditembak selamatkan ibu

      Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
      [email protected]

      ROHANI menemani Izwan yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.

      KOTA BHARU - "Mujur anak tarik saya, kalau tidak sah saya terkena tembakan."
      Itu cerita Rohani Daud, 50, ibu kepada Mohd. Izwan Ismail, 26, mengenai detik cemas bersama anaknya apabila ditembak oleh dua lelaki di hadapan rumahnya di Taman Perumahan Rantau Mas, Rantau Panjang pada pukul 7.15 malam kelmarin.
      Tindakan pantas Izwan yang seolah-olah menghidu sesuatu yang tidak kena apabila melihat kelibat dua lelaki yang mencurigakan berjaya menyelamatkan ibunya daripada cedera atau maut.
      Namun sebagai ganti, Izwan pula cedera parah di kaki kanannya selepas terkena berdas-das tembakan dan dikejarkan ke Hospital Lati, Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan susulan.
      Dalam keadaan kelam-kabut itu, Rohani sempat melihat kelibat dua lelaki bermotosikal dan memakai topi keledar melepaskan tembakan ke arah mereka.
      Ketika itu, Rohani dan anaknya hendak ke hentian bas di bandar selepas selesai menunaikan solat Maghrib untuk berjumpa ibu saudara yang akan ke Kuala Lumpur.

      Comment


      • #4
        Budak 6 tahun ditemui lemas

        Oleh KHAIRI MOHAMAD
        [email protected]

        ANGGOTA penyelamat mencari mayat Mohd. Afuza yang hilang sebelum ditemui terapung di Sungai Kelantan, Tumpat semalam.

        TUMPAT - Seorang kanak-kanak prasekolah, Mohd. Afuza Haikal, 6, ditemui mati lemas semalam setelah dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kelantan ketika bermain di Jeti Kampung Laut dekat sini petang kelmarin.
        Mayatnya ditemui terapung di tengah sungai lengkap berpakaian kira-kira dua kilometer dari jeti tersebut oleh anggota penyelamat.
        Menurut bapa mangsa, Abdul Rahim Sulaiman, 48, anaknya itu tidak pernah ke jeti tersebut apatah lagi bermain di situ.
        "Saya tidak tahu kenapa dia pergi situ kerana dia seorang yang takut air," katanya ketika ditemui semalam.
        Menurutnya, anak kelima daripada enam adik-beradik itu pulang dari sekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Laut kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut.
        "Saya yang menghantar dan menjemputnya pulang dan semalam selepas pulang dari sekolah, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, dia keluar bermain dengan menaiki basikal.
        "Selepas lebih sejam tak balik, isteri saya menyuruh seorang lagi anak mencarinya namun gagal menemuinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

        Comment


        • #5
          Tulis nama atas pasir sebelum mati lemas

          Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
          [email protected]

          Kian Fatt sedih mengenangkan nasib dua orang anaknya yang mati lemas di Sungai Pandan berhampiran Taman Sri Pandan, Johor Bahru semalam.

          JOHOR BAHRU - Tulis nama atas pasir sebelum ditemui mati lemas.
          Demikian yang dilakukan dua beradik, Wong Kai Seng, 12, dan Wong Sin Ying, 10, sebelum ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pandan berhampiran Taman Sri Pandan di sini pada pukul 2 petang semalam.
          Pasangan adik-beradik yang tinggal tidak jauh dari sungai itu menunggang basikal masing-masing ke tempat kejadian untuk bermain sambil menulis nama mereka.
          Mulanya Kai Sing dikatakan tergelincir ke dalam sungai sebelum adiknya cuba membantu tetapi dia juga terjatuh.
          Bapa mangsa, Wong Kian Fatt, 55, yang bekerja di Singapura berkata, dia mengetahui berita sedih itu selepas dimaklumkan oleh jirannya sebaik sampai ke rumah pada pukul 4 petang.
          "Saya pergi ke sungai itu sebelum ternampak lakaran nama mereka yang ditulis di atas pasir di tebing sungai.
          "Sebelum ini, mereka tidak pernah datang ke sungai ini tetapi hari ini (semalam) tidak tahu kenapa mereka datang bermain di sini," katanya sebak ketika ditemui di tempat kejadian.

          Comment


          • #6
            Lelaki upah RM5 culik, rogol budak perempuan


            LOKASI seorang kanak-kanak perempuan diculik oleh seorang penunggang motosikal sebelum dirogol ketika dia hendak ke kedai runcit (kiri) di Sungai Pinang, Klang kelmarin.

            KLANG - Selepas diumpan RM5 oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun diculik sebelum dirogol di Sungai Pinang, Jalan Meru di sini kelmarin.
            Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa yang berjalan ke sebuah pasar mini tidak jauh dari rumahnya dengan ditemani sepupunya berusia tujuh tahun telah dihampiri lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
            Suspek kemudian menghulurkan wang sebanyak RM5 kepada mangsa sebagai upah jika kanak-kanak itu bersetuju mengikutnya.
            Difahamkan, mangsa dilarikan suspek ketika dia hendak mengambil wang tersebut dan sepupu mangsa yang melihat kejadian itu terus memaklumkan kepada keluarganya.
            Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mangsa ditemui di Jalan Meru kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian dua jam selepas dilaporkan hilang iaitu pada pukul 10.30 malam hari yang sama.
            "Mangsa yang ditutup mulut oleh suspek dikatakan dapat melepaskan diri dengan melompat keluar dari van yang bergerak di Jalan Meru," kata beliau.

            Comment


            • #7
              KD hanya dicerai talak satu

              Oleh HARYATI KARIM
              [email protected]


              KUALA LUMPUR - Penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti (gambar) yang sebelum ini digembar-gemburkan bercerai dengan suaminya, Anang Hermansyah dengan talak tiga rupa-rupanya hanya sah diceraikan dengan talak satu.
              Keputusan itu dikeluarkan oleh Pengadilan Agama Jakarta Selatan pada 22 Oktober lalu.
              Kris Dayanti yang ditemui pada sidang media pelancaran album terbarunya, Aku Wanita Biasa di sini semalam menjelaskan, meskipun sudah dua hari dia bergelar janda, hakikat itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya nyanyian.
              Ketika ditanya kemungkinan dia akan kembali kepada Anang, beliau berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat ini tetapi dia tidak tahu untuk masa depan.
              "Cinta saya sudah mati untuk Anang ketika ini," katanya.
              Kris Dayanti bagaimanapun menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa kecurangan beliau merupakan antara punca keruntuhan rumah tangganya.
              "Saya tidak curang, cuma orang menyalahertikan kemesraan saya," tegasnya.

              Comment


              • #8
                Derita empat tahun berakhir

                Oleh HAFIZ ABBAS
                [email protected]

                Mangsa dera menunjukkan kesan luka akibat digigit dan dipukul di Wad Kanak-Kanak, HTAA di Kuantan semalam.

                KUANTAN - Penderitaan dua beradik yang mendakwa sering didera oleh ibu tiri mereka sejak empat tahun lalu berakhir apabila wanita berusia 40 tahun itu ditahan bersama suaminya di sebuah rumah di Jalan Gambang di sini kelmarin.
                Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Nordin Mustapha berkata, kejadian itu terbongkar pada pukul 2 petang apabila salah seorang mangsa meminta bantuan jiran selepas dia tidak tahan menjadi mangsa dera.
                "Kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun itu dipercayai sering didera oleh suri rumah tersebut tetapi mereka hanya mendiamkan diri.
                "Bagaimanapun, semalam (kelmarin) selepas dipukul oleh ibu tiri mereka, kanak-kanak lelaki terbabit telah pergi ke rumah jiran dan meminta bantuan," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
                Menurut Nordin, jiran itu kemudian membawa dua beradik itu ke balai polis membuat laporan.
                "Terdapat banyak kesan gigitan dan lebam di seluruh badan dua pelajar itu yang menuntut di sebuah sekolah kebangsaan di Kuantan," kata beliau.
                Berdasarkan siasatan awal, polis percaya dua beradik itu sering dipukul menggunakan kayu, batang penyapu, penyangkut baju sejak tinggal bersama ibu tiri mereka.

                Comment


                • #9
                  Mati tanpa sempat berjoli

                  Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
                  [email protected]

                  Mokhtar (kanan) menunjukkan senjata api, pedang dan sejumlah wang yang ditemui daripada dua penculik yang ditembak mati di Segamat semalam.

                  JOHOR BAHRU - Dua penculik dipercayai hanya sempat menghabiskan RM100 daripada wang tebusan culik sebanyak RM130,000 yang diperoleh sebelum mereka mati ditembak.
                  Itulah nasib dua penjenayah yang maut selepas mereka cuba menyerang dan menembak sepasukan anggota polis di Batu 9, Jalan Yong Peng-Pekan Chaah, Segamat di sini pada pukul 1.50 pagi semalam.
                  Kedua-dua lelaki berusia 35 dan 38 yang bersenjatakan sepucuk pistol revolver .38 dan sebilah parang itu mati ditembak pada pukul 1.50 pagi.
                  Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sebelum itu kedua-dua suspek telah menculik seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun pada pukul 6.45 pagi Selasa lalu di Segamat.
                  "Penculik itu kemudian meminta wang tebusan RM130,000 daripada keluarga mangsa.
                  "Keluarga mangsa membayar wang tebusan tersebut kelmarin sebelum mangsa dibebaskan tanpa kecederaan pada hari sama," kata beliau di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini semalam.

                  Comment


                  • #10
                    Misteri gadis hilang ingatan di New York


                    WAJAH gadis yang hilang ingatan.

                    NEW YORK - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) merayu orang ramai agar tampil memberikan maklumat bagi membantu mengenal pasti identiti seorang remaja perempuan yang hilang ingatan sejak dua minggu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
                    Remaja yang digelar 'Jane Doe' itu kini berada dalam jagaan pihak berkuasa bandar raya New York selepas polis menemuinya bersendirian berhampiran sebuah stesen bas di sini, pada pukul 12.30 pagi waktu tempatan, 9 Oktober lepas.
                    Ketika ditemui, dia tidak memiliki kad pengenalan diri selain tidak dapat mengingati nama, alamat atau ahli keluarganya manakala pemeriksaan cap jari turut gagal mengesan identitinya.
                    Ketika ditemui Jane Doe cuma dia dapat mengingati dengan lancar petikan ayat sebuah novel fantasi popular, Fool's Fate yang diterbitkan pada 2003..
                    "Saya mahu mengetahui siapakah saya yang sebenarnya dan apakah yang berlaku kepada saya," remaja yang dianggarkan berusia di antara 14 hingga 17 tahun itu dipetik sebagai berkata.
                    Beberapa pegawai memberitahu, gadis berambut perang dan bersuara lembut itu sudah diperiksa oleh beberapa pakar polis dan psikiatri dan mereka mendapati dia tidak berbohong berhubung keadaan dirinya.
                    Pada satu ketika, gadis itu menulis nama Amber dan menyahut apabila dipanggil dengan nama tersebut.
                    Namun, dia tidak pasti sama ada Amber merupakan namanya. - Agensi

                    Comment


                    • #11
                      Montenero juara tarian tiang


                      MONTENERO

                      BUENOS AIRES - Seorang peserta Brazil, Rafaela Montenero, 24, muncul sebagai juara pertandingan tarian tiang Amerika Selatan di sini yang berakhir pada Rabu lalu.
                      Montenero dari Sao Paulo yang merupakan pemenang Ratu Penari Tiang Brazil 2009 berjaya mengatasi peserta lain dalam pertandingan yang menggabungkan seni akrobatik dan erotik.
                      Tempat kedua dimenangi oleh Maria Luz Escalante dari Argentina yang merupakan seorang pengajar tarian dan berusia 29 tahun.
                      Kedua-dua wanita itu akan pergi ke London pada Mei depan untuk menyertai pertandingan tarian tiang peringkat dunia. - AFP

                      Comment


                      • #12
                        Budak lima tahun terkuat dunia



                        ROM - Seorang budak lelaki berusia lima tahun, Giuliano Stroe (gambar) menarik perhatian ramai apabila mampu melakukan pelbagai aksi lagak ngeri, lapor sebuah akhbar semalam.
                        Pada awal tahun ini, dia berjaya memikat panel hakim Guinness World Records ketika mengadakan persembahan berbahaya untuk satu program televisyen Itali.
                        Dalam persembahan itu, dia membuat aksi berdiri dalam keadaan terbalik.
                        Dia berjalan dalam keadaan terbalik sejauh 10 meter dengan sebiji bola diapit oleh kedua-dua kakinya.
                        Giuliano menetap di Itali bersama keluarganya yang berasal dari Romania dan mencipta rekod dunia sebagai manusia paling kuat dalam usia muda iaitu semasa berumur empat tahun.
                        Bapanya, Iulian Stroe, 33, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu memiliki susuk tubuh seperti seorang ahli bina badan dan turut diberi gelaran sebagai Hulk Hogan yang merupakan penggusti terkenal.
                        "Dia sering mengikuti saya ke gimnasium dan saya membawanya namun dia dilarang berlatih berseorangan," katanya.
                        Giuliano kini menjadi perhatian ratusan ribu pengunjung laman perkongsian YouTube yang menyaksikan rakaman dia berlatih dan melakukan aktiviti lagak ngeri.
                        Walaupun popular, jika tiada latihan angkat berat, Giuliano masih seperti kanak-kanak normal lain yang suka melukis, menonton kartun dan gembira bermain di padang. - Agensi

                        Comment


                        • #13
                          AS minta Polanski diekstradisi



                          GENEVA - Amerika Syarikat (AS) meminta Switzerland menyerahkan pengarah filem terkemuka, Roman Polanski (gambar) kepada pihak berkuasa di California, kata pihak berkuasa Switzerland semalam.
                          Polanski, yang memenangi anugerah Oscar pada 2003 kerana mengarahkan filem The Pianist kemungkinan dipenjarakan selama dua tahun di California kerana melakukan hubungan seks dengan gadis berumur 13 tahun pada 1977 di AS.
                          Kementerian Keadilan Switzerland dalam satu kenyataan memberitahu, Washington mengemukakan permohonan rasmi bagi mengekstradisi pengarah filem berusia 76 tahun itu lewat kelmarin.
                          Dia berada dalam tahanan pihak berkuasa Switzerland sejak penangkapannya pada 26 September lepas setibanya di sini dari Perancis untuk menghadiri satu festival filem.
                          Bagaimanapun, prosedur ekstradisi itu dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan kerana peguam Polanski sudah memberitahu, anak guamnya akan menentang perintah tersebut di mahkamah Switzerland.
                          "Dia akan menentang permintaan AS itu dan akan terus memohon supaya dibebaskan semasa menunggu permohonan AS itu dipertimbangkan," kata peguamnya, Herve Temime di Paris.
                          Polanski pernah mengaku bersalah di AS berhubung tuduhan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur tetapi melarikan diri ke Perancis.
                          Sebelum ini, AS tidak dapat mengekstradisi pengarah filem tersebut kerana ia tidak memiliki perjanjian ekstradisi dengan Perancis. - AP

                          Comment


                          • #14
                            Perancis diarah bayar ganti rugi



                            PARIS - Sebuah mahkamah di sini mengarahkan kerajaan Perancis membayar ganti rugi kurang £5,000 (RM27,747) kepada pemilik gedung beli-belah Harrods di London, Mohammed Al Fayed yang anaknya terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Paris bersama Puteri Diana (gambar), lapor sebuah akhbar semalam.
                            Keputusan itu dibuat kerana penyiasatan bagi mengetahui punca kematian Diana dan anak Mohammed, Dodi itu mengambil masa terlalu lama.
                            Pentadbiran Perancis mengambil masa selama lima tahun untuk menyelesaikan siasatan berhubung kemalangan jalan raya itu yang berlaku di sebuah terowong di Paris pada Ogos 1997.
                            Kontroversi berhubung cara mayat pemandu kereta yang dinaiki Dodi dan Diana iaitu Henry Paul diperiksa dalam satu bedah siasat selepas kemalangan tersebut menjadi teori konspirasi dengan terdapat dakwaan mereka dibunuh atas arahan pihak atasan keluarga diraja Britain.
                            Mahkamah itu membuat keputusan pada Rabu lalu tetapi diumumkan kepada orang awam semalam. - Agensi

                            Comment


                            • #15
                              Bunuh kambing dengan renungan mata


                              SATU adegan filem The Men Who Stares At Goats menunjukkan Clooney (kiri) menggunakan matanya untuk membunuh seekor kambing.

                              LONDON - Ramai menyangka Projek Jedi yang dipaparkan menerusi filem terbaru The Men Who Stare At Goats lakonan George Clooney yang membunuh seekor kambing dengan menggunakan kuasa matanya merupakan imaginasi seorang penulis skrip Hollywood.
                              Namun, sebuah akhbar semalam mendedahkan bahawa tidak ramai yang mengetahui bahawa ia merupakan sebahagian daripada projek sulit tentera Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan sekumpulan anggota tentera yang menggunakan kuasa psikik dan bukannya senjata api.
                              Projek perintis itu yang disokong dengan penyelidikan canggih mahu menggunakan kuasa psikik bagi merevolusi kaedah peperangan.
                              Menerusi Projek Jedi, tentera AS mahu menghasilkan anggota tentera 'ajaib' yang mampu merisik dan membunuh musuh serta mematikan bom nuklear dengan menggunakan kuasa minda mereka.
                              "Anda perlu sedar bahawa idea ini tidak dianggap mengarut oleh pihak tentera," kata seorang anggota pasukan khas yang terlibat dalam Projek Jedi, Sarjan Glenn Wheaton.
                              Menurutnya, tentera AS turut melakukan penyelidikan dan eksperimen kuasa psikik bagi menghasilkan askar yang boleh berjalan menembusi dinding dan menjadi halimunan.
                              Ketaksuban penggunaan kuasa paranormal itu bermula apabila tentera AS mendapat maklumat bahawa Rusia giat membangunkan program senjata psikik mereka sendiri yang melibatkan lebih 40 institut paranormal negara itu.
                              "Mereka dilihat bakal membuka lembaran baru teknologi ketenteraan. Kita perlu mengetahui sama ada kuasa minda boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan selain mencari cara untuk melindungi diri jika diserang mereka (Rusia)," tambahnya.
                              Sejak beberapa dekad lalu dunia dikejutkan dengan beberapa demonstrasi kuasa minda luar biasa terutamanya oleh pengamal magis dari India, Yusultini yang mengapungkan diri wanita ke udara pada tahun 1950-an. - Agensi

                              Comment

                              Working...
                              X